Membina K.A.S.E.H
Masalah beliau adalah masalah SIKAP!
Datang kerja selalu lewat, buat kerja lambat, pemalas, tak mahu membantu orang lain dalam organisasi, berat tulang, tak pandai hormat orang lebih tua dan sebagainya. Masalahnya masalah sikap. Buatlah apapun tetapi beliau tidak akan berubah.
Saya fikir, ramai orang pernah mendengar keluhan ini atau mungkin juga biasa mengeluarkan kenyataan ini sendiri. Memahami individu yang mempunyai masalah sikap bukanlah mudah. Ianya memerlukan pengamatan, pencerahan, maklumat dan juga penelitian.
Jika dulu, saya juga percaya masalah individu ini adalah masalah sikap. Namun kini, saya telah berubah pendapat. Di dalam kehidupan manusia, masalah sikap mempunyai rantaiannya yang tersendiri.
K.A.S.E.H
K - Knowledge (Ilmu)
Sikap hanya boleh diperbetulkan dengan ilmu. Tanpa ilmu, sikap tak mungkin boleh diubah atau dilihat sebagai salah oleh pelakunya. Menasihatkan individu yang mempunyai masalah sikap tanpa memberikannya ilmu adalah sia-sia sahaja.
Seperti surah pertama yang Allah turunkan kepada kita
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ [96.1] Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan,
خَلَقَ الإنْسَانَ مِنْ عَلَقٍ [96.2] Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah.
اقْرَأْ وَرَبُّكَ الأكْرَمُ [96.3] Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah,
(Surah Al Alaq Ayat 1 - 3)
Bacalah... Mengapa membaca? Membaca akan menjadikan kita orang yang mempunyai ilmu. Ilmu membantu kita mempunyai sikap yang lebih baik.
A - Attitude (Sikap)
Selepas menimba ilmu, muhasabah diri akan berlaku kerana manusia berilmu menggunakan ilmunya untuk berfikir, membuat perubahan dan bertindak.
Sikap yang disebutkan di atas seperti datang lewat ke tempat kerja, malas, tidak mahu memberikan kerjasama,tidak mahu berubah dan sebagainya berlaku kerana tiada ilmu.
Apabila sikap telah bertambah positif maka elemen seterusnya ini akan memberikan kesan dalam kehidupan.
S - Skills (Kemahiran)
Pernahkah anda berjumpa dengan individu yang tidak menggunakan kemahiran yang ada padanya? Contohnya telah dihantar ke Program Kemahiran Komunikasi tetapi masih juga mempunyai masalah dalam komunikasi.
Kemahiran hanyalah berguna kepada individu yang mempunyai sikap yang betul. Sikap yang silap akan menjadi penghalang kepada penggunaan kemahiran. Kemahiran Pengurusan Masa hanyalah berguna kepada individu yang mempunyai sikap yang bersesuaian. Selepas mempunyai kemahiran yang membantu dalam memperkembangkan potensi diri, elemen seterusya perlu ada dalam kehidupan.
E - Engaged (Penglibatan)
Anda perlu menglibatkan diri secara aktif dalam kehidupan anda sendiri. Semua masalah, isu dan juga kekurangan dalam kehidupan anda timbul kerana kebanyakkan waktu keterlibatan anda dalam kehidupan adalah minimum. Untuk berjaya anda haruslah menerima kenyataan bahawa anda bertanggungjawab 100% terhadap kehidupan anda. Dan sudah tentulah anda hanya boleh menerima tanggungjawab 100% setelah anda mempunyai ilmu yang membentuk sikap yang baik dan juga mempunyai kemahiran untuk menjalani kehidupan anda.
Selagi anda tidak menerima tanggungjawab kehidupan anda, selagi itulah anda akan menyalahkan orang lain kepada setiap halangan yang anda temui dalam kehidupan.
H - Holistic (Menyeluruh)
Kehidupan manusia adalah kehidupan yang menyeluruh. Anda memegang banyak peranan dalam kehidupan anda. Anda mungkin memegang peranan sebagai ibubapa, suami isteri, anak, jiran, pekerja dan sebagainya. Dengan adanya ilmu, sikap yang bersesuaian, kemahiran tertentu dan menerima penglibatan kehidupan terhadap diri sendiri, semua peranan dalam kehidupan anda akan menjadi cemerlang.
Kehidupan anda akan menjadi menyeluruh. Anda akan menjadi orang yang bagus dan disenangi oleh semua orang.
Maka, untuk anda berubah daripada keadaan sekarang ke keadaan yang lebih baik, anda perlulah mencari ilmu. Ilmu akan membantu anda untuk mencapai potensi maksimum dalam kehidupan anda.
No comments:
Post a Comment